TAMADUN CINA DALAM PEMANTAPAN TAMADUN MALAYSIA DAN DUNIA

 TAMADUN CINA DALAM PEMANTAPAN TAMADUN MALAYSIA DAN DUNIA

1.1 Tamadun Cina: Relevansinya di Malaysia dan Dunia

Dalam bidang politik, nilai utama yang diberikan tumpuan ialah integrasi nasional (perpaduan nasional). Selain itu, yang ditekankan ialah mengenai ideal demokrasi (khasnya kematangan, kemuafakatan, komuniti sebagai tumpuan), keamanan dan keharmonian, keadilan dan dedikasi terhadap negara. Tamadun Cina yang berasaskan humanisme dan moralisme memang menekankan keharmonian, kesederhanaan, keadilan, ketaatan dan ideal-ideal demokrasi seperti yang terkandung dalam The Grand Unity sebagaimana yang telah dibincangkan sebelum ini.

Dalam bidang sosial, yang diidamkan ialah sebuah masyarakat bermoral dan beretika, berkebudayaan penyayang, bersifat terbuka dan toleransi, bersifat bebas untuk mengamalkan tradisi budaya dan ajaran agama, bersifat saintifik dan progresif, dan berasaskan institusi keluarga yang kukuh. Sebagai mana yang telah dibincangkan sebelum ini, tamadun Cina dalam proses perkembangannya telah menerima banyak pengaruh agama dan kebudayaan asing kesan daripada interaksi dengan tamadun lain. Tamadun Cina memang bersifat terbuka dan bertolak ansur. Selain itu, sistem etika Cina sejak zaman purba berasaskan keluarga semata-mata dan mengutamakan kebaikan hati (benevolence atau cohumanity) serta keharmonian dalam hubungan antara sebarang entiti (individu, kelompok, alam). Oleh itu, ajaran Konfusianisme mungkin memberi banyak implikasi bagi pemupukan kebudayaan penyayang dan pembangunan masyarakat yang beretika, liberal dan bebas dari segi agama dan budaya.

Dalam bidang psikologi, rakyat Malaysia harus dibangunkan psikologinya agar selaras dengan aspek pembangunan yang lain terutama pembangunan kebendaan. Sifat-sifat psikologis yang diperlukan ialah keyakinan kendiri secara kolektif, iaitu rasa bangga kerana keahlian dalam masyarakat dan pencapaian masyarakat; bersikap teguh terhadap pelbagai cabaran; tabah hati mengejar kualiti; dan adanya pembebasan psikologi (tidak rasa diri kurang penting). Dalam tamadun Cina yang bercirikan personalisme sebagaimana yang telah dibincangkan, pemupukan kendiri wajar diamalkan atas premis bahawa manusia berkeupayaan untuk mencapai semaksima kebaikan dan memberi manfaat. Lanjutan daripada premis ini ialah kepercayaan bahawa setiap orang tanpa mengira latar belakangnya harus dididik dan boleh dididik. Selain itu, pemupukan kendiri dalam tradisi Cina bertujuan untuk kepentingan keluarga, negara dan dunia, dan bukan untuk diri sendiri semata-mata. Nyatalah bentuk- bentuk pemikiran ini terdapat dalam tamadun Cina yang sememangnya relevan sebagai pedoman untuk merancang kurikulum dan pedagogi bagi pembangunan psikologi yang dimgini.

Dalam bidang ekonomi, keadilan dan sikap berpatutan merupakan dua nilai yang penting. Kedua-dua nilai ini khasnya merujuk kepada pengagihan kekayaan secara adil saksama dan pekerjaan tidak dikenal pasti dengan ras. Sebenarnya keadilan pengagihan kekayaan adalah salah satu ideal dalam The Grand Unity. Selain itu, terdapat banyak nilai dalam tamadun Cina yang patut ditekankan dalam aktiviti ekonomi. Misalnya, kerajinan, berjimat-cermat, tanggungjawab (komitmen), integriti dan ketaatan akan memanfaatkan


pertubuhan perniagaan secara langsung; nilai etika seperti keharmonian, kesetiaan, kesopanan, kepatuhan kepada norma dan peraturan, disiplin din, semangat bekerjasama dan sebagainya mungkin memberi implikasi yang positif bag! teori organisasi, tingkah laku organisasi, pengurusan perniagaan dan psikologi perindustrian.

Dalam bidang pendidikan, pendidikan merupakan kunci pembangunan dan medium untuk merealisasikan Wawasan 2020. Banyak inovasi dan ciri baru diperkenalkan ke dalam sistem pendidikan sejak tahun 1990. Kita harus mengambil satu perspektif perbandingan supaya kebijaksanaan dan fikiran Konfusianisme dan tradisi lain dapat digunakan dalam segala pertimbangan mengenai perkembangan kurikulum dan strategi mengajar dan pengajaran. Dalam konteks ini, warisan-warisan tamadun Cina yang relevan dan menarik hati ialah pertama, kepercayaan optimistik pada potensi manusia untuk mencapai kecemerlangan individu atau berkelompok; kedua, pendidikan sentiasa diutamakan; ketiga, kepercayaan bahawa setiap individu harus dan boleh dididik; keempat, pembentukan keperibadian atau ajaran moral dan etika diberikan keutamaan; dan kelima, guru harus dihormati dan diberi status sosial yang tinggi. Nyatalah bahawa warisan-warisan ini adalah berpunca daripada humanisme, personalisme, intelektualisme dan moralisme dalam tamadun Cina.

Dalam bidang pemeliharaan alam sekitar, isu ini menjadi semakin runcing dan memerlukan persetujuan konsepsi dan kerjasama di permgkat sedunia. Secara asasnya, manusia perlu merujuk kepada tradisi yang menekankan serta mengamalkan hubungan harmoni antara manusia dengan alam semulajadi. Sehubungan ini, tamadun harus berdialog antara satu dengan yang lain supaya mencapai satu konsepsi yang rasional mengenai alam, kaitannya dengan manusia dan kewajipan manusia bagi mengatasi kemerosotan mutu alam sekitar. Mengikut ajaran sama ada Konfusianisme, Daoisme atau Buddhisme dalam tamadun Cina, manusia berkedudukan setaraf dengan alam, maka manusia harus berusaha memahami prinsip-prinsip alam semesta (tian) supaya tercapai satu keadaan yang dikenali sebagai "kesatuan tian dengan manusia". Fahaman mengenai alam dan keadaan kesatuan ini adalah bersifat transendensi dan bukan empirik. Walau apapun, keharmonian yang tertinggi darjahnya harus diusahakan dalam hubungan manusia dengan alam semesta.

1.2 Kekuatan Tamadun Cina sebagai Sumber Rujukan

Selain daripada adanya kaitan tamadun Cina, khasnya sistem nilainya dengan Malaysia dan dunia dalam konteks pembentukan semula sistem etika, perlu ditekankan di sini bahawa terdapat tiga kekuatan tamadun Cina sebagai sumber rujukan.

Pertama, dan sudut kesesuaian. Ideal Konfusian mengenai penubuhan sesebuah negara beretika bersesuaian dengan Wawasan 2020. Kedua-duanya mempunyai konsepsi yang sama mengenai kepercayaan, ideal dan nilai.


Khususnya, keluarga dianggap sebagai satu institusi sosial penting yang seharusnya dipelihara dan dipertahankan. Tambahan lagi, Malaysia sebagai satu negara-bangsa moden amat komited terhadap pembangunan pendidikan, berdasarkan kepercayaan pada perkembangan sepenuh potensi manusia peringkat perseorangan. Dalam hal ini, ideologi Konfusianisme yang berteraskan humanisme, humanitarianisme, intelektualisme dan rasionalisme, adalah secocok dengan fikiran pendidikan moden di Malaysia dan dunia.

Kedua, dari sudut skop yang komprehensif. Sungguhpun Konfusianisme dikembangkan lebih kurang 2,500 tahun dahulu, konsepsinya mengenai perhubungan sosial, iaitu Lima Perhubungan (wulun), adalah sahih lagi komprehensifsehingga masa kini. Dalam Konfusianisme, nilai, sifat moral dan prinsip etika yang berkisar kepada lima perhubungan sosial adalah penting dan cukup sesuai untuk memberi ilham kepada mereka yang memikirkan satu sistem nilai yang sewajarnya.

Dan ketiganya, dari sudut kaya dengan wawasan dan kebijaksanaan. Wawasan Konfusian mengenai masa depan manusia, seperti yang dinyatakan dalam The Grand Unity amat berkaitan dengan masyarakat global. Pada tahun- tahun kebelakangan ini terdapat ramai sarjana yang terlibat dalam perbincangan tentang kaitan tamadun Cina dengan dunia moden dalam pelbagai bidang termasuk politik, ekonomi, pendidikan, ketenteraan, pemeliharaan alam sekitar, pengurusan perniagaan, perubatan dan kesihatan. Pelbagai pendapat tentang keistimewaan atau keunikan dan juga kelemahan-kelemahan dalam tamadun Cina telah diutarakan. Sebilangan kecil mereka menegaskan bahawa tamadun Cina yang wujud dan berlangsung beribu-ribu tahun itu mempunyai unsur-unsur yang kurang sesuai pada masa kini. Namun, pada keseluruhannya, kebanyakan sarjana percaya bahawa tamadun Cina mempunyai unsur positif dan kebijaksanaan seperti yang telah dibincangkan. Tegasnya, seperti tamadun- tamadun lain yang memiliki jangka hayat yang lama, tamadun Cina yang kaya dengan wawasan dan kebijaksanaan akan terus menjadi satu sumber inspirasi yang relevan bagi manusia pada kurun ke-21.

1 comment: